Sunday, January 24, 2010

Rabitah & Wasilah

1.0 RABITAH DAN WASILAH

Rabitah dan wasilah adalah suatu cabang ilmu kesufian yang diajar oleh guru-guru sufi yang arif dan faham halnya kepada murid-muridnya untuk diamalkan akan dia di dalam menjalani jalan sufi yang muktabar melalui mana-mana ilmu dan amal yang benar sebagai jalan pintas untuk segera keluar dari daerah jahat zahir dan bathin kepada daerah baik zahir dan bathin.

1.1 Rabitah dari segi bahasa

Tambatan ingatan kasih sayang yang terzahir di dalam hati sanubari seseorang terhadap seseorang yang disukai atau dikasihi hasil daripada memperolehi pemberian yang dihajati (sekali atau berulangkali) sehingga menjadi terbayang atau terukir gambar orang itu di dalam ingatannya dan tidak boleh dilupakan.

1.2 Wasilah dari segi bahasa

Mengguna (menonjolkan) pangkat kemuliaan kebesaran seseorang yang disukai atau dikasihi yang menjadi sahabat atau taulan kenalan atau kekasih kepada seseorang yang dipohonkan hajat supaya hajat itu segera diperolehi atau dimakbulkan



2.0 Rabitah Dari Segi Istilah Ahlil haq.

Tambatan ingatan kasih sayang terzahir terpacak kukuh di dalam hati sanubari seseorang murid sehingga nyata mesra kasih sayang ingatan itu keseluruh dirinya (murid) zahir dan bathin terhadap seseorang ulama’, atau solihin atau nabi2 dan rasul-rasul ‘alaihimussolatu wassalam samada masih hidup atau telah mati yang menjadi syeikhnya (gurunya) dan kepercayaannya ( paling kurang yakin atau lebih tinggi daripada itu, haqqul yakin, ‘ala haqqul yaqin dan ketasnya lagi) sebagai taqarrub dan tabarruk dirinya dengan kemuliaan dan ketinggian pangkat iman, islam dan ehsan syeikhnya itu di sisi hadzrat Allah dalam ilmu dan amalnya bagi menjalani jalan mencapai kemantapan makrifahnya akan Allah S.W.T. dalam hidup dan kehidupannya sehingga terukirlah rupa syeikhnya itu di dalam bathin hatinya dan terpancar keluar pada penglihatan mata kasar yang tidak lekang dalam apa juga suasana dan keadaan, setelah itu dinafikannya akan wujud zat yang lain, sifat yang lain, perbuatan yang lain berbetulan wujud zat Allah, sifat Allah dan af’al Allah yang hakiki dan serentak dengan itu difanakan akan wujud dirinya dan segala benda dan masa cair dan beku, zahir dan bathin dan wujud yang lain, sifat yang lain, perbuatan yang lain selain Allah. Samaada dikiri, dikanan, dihadapan, dibelakang, di atas, dibawah dan di dalam pada zatNya, sifatNya dan perbuatanNya sehingga terbit pada mata zahir nya yang wujud mutlak itu hanya zat Allah dan segala sifatnya dan perbuatanNya. Dikala itu jadilah ia orang yang semata-mata mengabdikan diri kehadzrat Allah, zat wajibal wujud disemua tempat, semua waktu, semua masa dan semua keadaan melalui lidahnya, anggotanya dan hatinya seumpama syeikhnya ( yakni telah tumbuh didalam dirinya iman dan taat seumpama syeikhnya walau sebesar zarah sekalipun dan terhakis pula kufur dan maksiat walau sebesar zarah sekalipun) dan kala itu jadilah murid itu orang yang telah masuk di dalam makna firman Allah:-

“ Katakanlah Allah itu Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadanya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakan. Dan tiada sesuatupun yang setara denganNya.” (Al ikhlas : Ayat )

“ Hanya kepada engkaulah kami menyembah, dan hanya kepada engkaulah kami mohon pertolongan”. ( Al Fatihah : Ayat 5)

3.0 Wasilah Dari Segi istilah Ahlil haq

Menggunakan atau menonjolkan pangkat kemuliaan, kebesaran iman islam dan ehsan seseorang yang dikasihi Allah yang dijadikan syeikhnya di dalam ilmu dan amalnya samada ulama’, solihin, nabi2 dan rasul-rasul ‘alaihimussolatuwassalam yang masih hidup atau sudah mati sebagai tabarruk dan taqarrub dengan kemuliaan dan kebesaran ketinggian iman, islam dan ehsan syeikhnya itu di sisi hadzrat allah bagi memohon serta menghasilkan sesuatu yang baik daripada hadzrat Allah berupa keampunan di atas segala dosa besar atau kecil, keridhoaan , kasih sayang dan lain-lain diwaktu aman dan dhorurat di dunia dan akhirat.



4.0 Oleh yang demikian secara umumnya rabitah terbahagi kepada 3 jenis iaitu:

a. Rabitah Tabi’i

Iaitu ikatan atau pertautan yang berlaku secara kebiasaan (Fitrah)

Contoh ikatan atau pertautan antara kaum keluarga.Misalnya Abu teringatkan ibunya atau Hassan mengingat nostalgianya bersama isterinya semasa muda-muda dahulu lalu beliau membayangkan saat-saat indah dikala pertemuan pertama yang membawa beliau dan isterinya bercinta terasa indahnya di dalam hati beliau saat-saat manis itu di dalam hatinya..(Ini bermakna si Hassan menambat hati atau mempertautkan hati dengan isterinya dan terhasillah kegembiraan dan kemanisan dihatinya bilamana peristiwa manis itu terbayang)

b. Rabitah Sufli

Iaitu ikatan atau pertautan hati dengan sesuatu yang bersifat rendah seperti mempertautkan hati dengan pangkat, harta,wanita ,kemegahan yang mana kesemua pertautan hati itu akhirnya mendatangkan mudharat terhadap orang tadi samada secara lahiriah mahupun ruhaniah.Dan ini adalah yang di cela oleh syara’ dan tidak mendatangkan sebarang manafaat ruhaniah sebaliknya akan menyebabkan hati orang yang menambat itu akan bertambah keras dan jauh dari Allah Ta’ala.

c. Rabitah ‘Ulwi

Iaitu ikatan hati atau mempertautkan hati dengan sesuatu yang bersifat tinggi seperti mempertautkan hati dengan syiar-syiar Allah atau dengan mempertautkan hati dengan orang-orang yang sholeh , atau dengan orang yang sudah nyata kewara’kannya , atau dengan Ulama' yang amilin dengan sahabat-sahabat nabi serta dengan kehararibaan baginda nabi Muhammad s.a.w. dan kesemua pertautan hati di alam ini adalah dengan satu tujuan saja iaitu sebenarnya untuk mempertautkan hati dengan Allah Ta’ala atau dengan perkataan sebenarnya ialah bermaksudkan Allah Ta’ala dan keredhaanNya dan tidak yang lainnya walau sebesar habuk sekalipun tiada tujuan yang lain .Sekiranya ada terselit tujuan yang lain walau sedikit pun maka rabitah tersebut bertukar menjadi Rabitah sufli kerana telah lari dari konsep Tauhid dalam ubudiyyah.

5.0 Mengapa perlu Rabitah ?

a. Kerana perintah Allah Ta’ala

Kita diwajibkan mempertautkan hati kita kepada Allah dan RasulNya dan dengan segala orang-orang muslim atas perintah Allah serta berjuang ke jalanNya kerana ianya perintah syara’ yang sangat nyata.

b. Kerana ianya Sunnah

Adapun mempertautkan hati dalam pengertian rabitah ‘Ulwi adalah jalan sunnah dan perkara ini berlaku di antara Rasul dan sahabat-sahabatnya yang mereka itu saling mempertambatkan hati mereka dengan kasih sayang atas sebab Allah Ta’ala dan keredhaanNya (Ukhuwah fillah)

c. Kerana mempertautkan hati

Mempertautkan hati adalah wasilah yang menyampaikan kepada kehampiran(Qurb) kepada Allah Ta’ala .

Menambat atau mempertautkan hati ini amalan Rabitah mengikut kaedah sufi.

Adapun ahli sufi menggunakan kaedah rabitah sebagai suatu wasilah supaya mendapat penghampiran (qurb) dengan Allah Ta’ala (rabitah ‘Ulwi). Pengertian rabitah secara sufi ini adalah berbentuk khususiah dan ianya menjadi suatu adab yang paling muakkad(utama) di kalangan kaum sufi.Di katakan ianya sebagai amalan khususiah kerana pengamal rabitah ini mestilah mempunyai syarat yang cukup sebelum mengamalkannya kerana mengelak dari salah faham dan salah penghayatan yang akhirnya mendatangkan fitnah bagi pengamalnya(yang tak cukup syarat) .

Dan paling utama syaratnya ialah dia wajib memahami asas ilmu aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah sekurang-kurangnya fardhu ‘ain. Dan ada lagi syarat rukunnya bagi pengamal rabitah tersebut dan tahu serta faham bilamanakah rabitah itu di perlukan dan bilamanakah ia perlu tinggalkan sama sekali.

Adapun makna rabitah atau cara menambat hati seorang murid Tariqat kepada syeikh(Guru Mursyid)nya ialah sepertimana yang di terangkan oleh Syeikh Daud Al Fathani di dalam kitab Dhiyaul Murid pada menyatakan adab berzikir yang keempat belas iaitu :

“ Bahawa mengkhayalkan(membayangkan di dalam hati atau pemikiran) rupa syeikhnya
pada antara dua matanya. Maka iaitu terlebih sangat muakkad bagi memberi bekas.
Maka di hadirkan rupa syeikhnya pada hatinya , dan menuntut penolong daripadanya.
Dan di lihat bahawasenya ia penolong daripada penolong nabi kita . Dan hati nabi
s.a.w. selama-lamanya berhadap kepada hadhrat Tuhannya. Maka apabila di kerjakan
yang demikian itu maka limpah pertolongan ‘al Ilahiyyah’ daripada ‘Hadhrat
Ilahiyyah’ kepada hati penghulu kita (Nabi Muhammad s.a.w.). Dan daripada hati
penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w. kepada segala hati masya’ikh daripada satu
kepada satu hingga sampai kepada yang berzikir itu. Maka jadi dapat pertolongan dan
mendapat pemberian Allah pada kita jika ada benar hatinya”.

Bagi orang sufi/Tariqat cara mereka menambat hati dengan syeikhnya ialah dengan menggambarkan atau membayang rupa / diri syeikhnya sebelum berzikir (secara perseorangan) dengan tujuan mendapat limpahan ruhaniah dari sekelian syeikhnya yang terdahulu mengikut susur galur salasilah tariqatnya sehinggalah baginda Rasulullah s.a.w. yang senantiasa menerima limpahan rahmat dari Allah Ta’ala.

Sebenarnya membayangkan rupa syeikh adalah salah satu cara dari berbagai cara untuk menambat hati dengan syeikh. Setengah pendapat cukup dengan niat saja bahawa syeikhnya itu hadhir bersama dalam berzikir ketika murid berzikir dengan tujuan mendapat keberkatan dari syeikhnya itu kesemuanya itu adalah tujuan yang sama dan terlingkup dalam makna rabitah juga.

6.0 Rabitah dan Wasilah dalam ilmu dan amal itu terjadi keatas seseorang murid kerana

6.1 Perhubungan silaturrahim dan mesra kasih sayang murid terhadap gurunya selepas murid itu menerima ilmu dan amal daripada gurunya serta beramal dengan ilmu dan amal itu bersungguh-sungguh.

6.2 Hati simurid akan sentiasa teringat akan gurunya di dalam mujahadahnya melalui ilmu dan amal yang diterimanya itu dan guru juga akan sentiasa teringat muridnya di dalam doanya.

6.3 Syeikhnya atau gurunya itu telah sampai kepada maqam iman, islam dan ehsan yang kamilah atau kamilatul kamilah di mana rohani dan jasmani syeikhnya itu ghaib atau ghaibul mutlak di dalam keagungan, kemuliaan, kebesaran ALLAH rabbul jalil di semua tempat waktu dan masa dan nyata pada diri syeikh itu berkat, maunnah, karomah di dalam ilmu dan amalnya.



6.4 Syeikh yang kamil atau kamil mukamil itu sentiasa dapat berhubung dengan rohani dan jasmani muridnya yang tidak putus hubungan silaturrahim dengannya diwaktu aman dan dhorurat sehingga jadilah murid itu sentiasa terbayang akan rupa syeikhnya (gurunya) lebih-lebih lagi dikala apabila bangkit cita-cita dan kehendak hati murid itu untuk melaksanakan kufur dan maksiat.

6.5 Ingatan mesra kasih sayang murid terhadap syeikhnya yang kamil atau kamil mukamil itu akan membuahkan lipat ganda ingatan kasih sayang murid itu kepada Allah didalam ibadahnya dan ubudiahnya.

6.6 Terhindar murid itu daripada rabitah dan wasilah seperti yang dibuat oleh orang kafir, jahil, fasiq, dimana mereka mengiktiqadkan gambar yang terukir atau terupa didalam ingatan itu sebagai tuhan dan mereka dzohirkan dengan menempa gambar itu didalam alam ini dan mereka muliakan gambar yang mereka tempa itu dalam segala rupa bentuk pemujaan mengikut hawa nafsu yang jahat di dalam khayal syak, dzon dan waham. Sebagai ubudiah dan mengenang jasa atau mempamirkan rasa cinta atau ingatan kasih sayang yang mendalam yang ditumpukan kepada gambar yang ditempa itu sahaja.

7.0 Rabitah Haq

Ialah diatas makna Tabarruk dan taqarrub diri kehadrat Allah dengan penuh yakin , haqqul yakin, ‘ala yakin, ‘ala haqqul yakin dengan kemuliaan, kebesaran, ketinggian pangkat iman, islam dan ehsan mereka itu di sisi Allah samada dia seorang ulama’, solihin, nabi-nabi dan rasul-rasul ‘alaihimussolatuwassalam yang masih hidup atau sudah mati sebagai jalan pintas supaya segera dikurniakan baik, paling baik, agung baik, dan maha baik oleh Allah seumpama Allah kurniakan kepada orang yang Allah jadikan sebagai rabitah dan wasilah itu dan diharap supaya benar2 nyata maunnah dan karomah yang hakiki yang tiada sangkut paut atau hubung kait dengan segala rupa bentuk bantuan khadam bersyarat atau yang datang mengikut jalur keturunan atau pemujaan, walaupun karomah atau maunnah itu bukan menjadi tujuan dan matlamat di dalam ilmu dan amalnya. Ia suatu pakaian yang dikurniakan oleh Allah pada ahli-ahlinya sahaja.

Syeikh daud al fathoni menjelaskan di dalam manhalus sufi..

” orang yang tiada karomah umpama anak yang tiada bapa”.

Berkaitan rabitah wasilah maksud hadis :-

“ Orang yang terbaik dikalangan kamu ialah orang yang apabila dilihat nya, dapat mengingatkan kamu kepada Allah, percakapannya menambahkan ilmu kamu, perbuatannya (amalannya) mendekatkan kamu kepada akhirat”

Riwayat daripada al hakim daripada Abdullah bin omar.

Contoh kaedah rabitah yang haq ialah membawa ingatan selintas sebelum memulakan amalan zikir khafi bagi mendapatkan keteguhan dan keyakinan agar semasa menyelam dalam amalan zikirulLah itu nanti tidak dicelahi oleh syak,dzan dan waham,dan apabila mencapai maksud dalam zikir nya itu yakni hudurul qalbi/fana/jazbah Ilahiah,maka di situ tidaklah dibawa lagi ingatan terhadap guru/rabitah.Ini yang telah ditarbiahkan asal asal oleh mana-mana pemuka pemuka mursyid Naqsyabandiah yg muktabarah.

Adapun rabithah yang diperbolehkan seperti :

a. Rabithah seorang makmum terhadap imamnya dalam shalat

Seorang makmum wajib berniat menjadi makmum dan konsekwensinya dia harus mengikuti imam sepenuhnya. Manakala makmum menyalahi perbuatan imam,umpamanya imam sujud dia rukuk dsa maka shalat si makmum tadi mejadi batal.

b. Rabithah seorang anak terhadap kedua orang tuanya

Di dalam Q.S Al Irsa ayat 23 Allah menyuruh kita berbuat baik kepada
orang tua, dan melarang menyakiti hati keduanya. Tetapi kita diperintahkan menyenangkan hati keduanya.

c. Rabithah antara isteri kepada suaminya

Di dalam Q.S An Nisa ayat 21 Allah berfirman :

Dan mereka (isteri-isterimu) dengan akad nikah telah mengambil dari
kamu janji yang kokoh kuat.Dengan akad nikah maka terjadilah rabithah antara suami isteri yangmenimbulkan hak dan kewajiban masing-masing. Dengan akad nikah akan terjadilah rasa kasih dan sayang antara keduanya yang disalurkan melalui berkahnya nikah seperti yang ditegaskan dalam Q.S Ar Rum ayat 21.

d. Rabithah antara murid dengan guru

Tidak ada di dunia ini seseorang memperoleh ilmu tanpa melalui guru,
langsung atau tidak langsung. Seorang murid dengan sungguh-sungguh
menunut ilmu dari gurunya, dan seorang guru dengan tulus ikhlas
memberikan pendidikan dan pengajaran kepada muridnya, hingga dengan
demikian terjadilah hubungan yang harmonis antara keduanya. Murid yang mendapatkan ilmu pengetahuan dari gurunya dengan cara demikian akan memperoleh ilmu yang berkah dan bermanfaat.

8.0 Rabitah Bathil

Rabitah dan Wasilah yang dibuat oleh orang-orang kafir atau yang seumpama dengannya.

Rabitah dengan makna menzahirkan rupa diri sesesiapa sahaja yang memberi kebaikan kepadanya mengikut khayal syak, dzon dan waham. Dengan mengaku sebagai Tuhan yang disembah dengan sebenarnya dan menempa rupa gambarnya itu pada mana-mana tempat di dalam alam ini untuk disanjung, dipuja mengikut kehendak hawa nafsu yang jahat, paling jahat, dan agong jahat sebagai mengenang jasa terhadap sesuatu pemberian atau hajat yang diperolehi atau menzahirkan rasa ingatan kasih saying yang hanya merupakan hayalan syak, dzon dan waham.

Manakala contoh pembawaan rabitah yg batil ialah pembawakan rabitah dan beriktikad bahawa rabitahlah yang membekas atas segala apa yang berlaku spt kemalangan,kecelakaan pada diri nya,dan meyakini bahawa guru nya lah/rabitahlah yang membuatkan dia memperolehi sesuatu keuntungan/nikmat.,dan ada juga yang beriktikad bahawa guru nya mengetahui segenap perbuatan nya di mana sahaja dia berada.Seolah olah di sini tauhid nya terletak pada tangan guru/rabitah tersebut.
Ini antara contoh yg berlaku di kalangan pengamal pengamal tariqah.



9.0 KEPERLUAN RABITAH DAN WASILAH BAGI SETIAP MURID YANG INGIN MENCERAIKAN JAHAT MENUJU KEPADA BAIK.

Sejarah silam banyak memberi pengajaran dan bukti nyata bahawa rabithah dan wasilah di atas makna tabarruk dan taqarrub dalam ilmu dan amal menuju kepada baik seperti yang diajar oleh nabi-nabi dan rasul-rasul, ulama’ muhaqqiqin memang ada dan menjadi sesuatu tutntutan yang diharuskan yang berbeza sekali dengan rabitah dan wasilah yang dibuat oleh orang kafir atau orang yang mengambil ilmu dan amal daripada orang-orang jahil, fasiq, munafik dan seumpamanya di mana rabitah dan wasilah yang mereka buat itu di dalam keadaan khayal syak, dzon dan waham di atas makna ta’abud memuja menghormati sebagai mengenang jasa menumpu dan menzahirkan ingatan rasa kasih sayang.

Antara rabitah dan wasilah yang benar itu seperti kisah Nabi Allah Yusof ‘alaihissalam dengan Siti Zulaikha yang mana Nabi Yusof ‘alaihissalam hampir-hampir tergoda dengan telatah dan godaan Siti Zulaikha ke atas dirinya. Maka di saat itulah ALLAH memperlihatkan rupa ayahandanya Nabi Allah Yaakob a.s kepada baginda. Maka ketika itu juga baginda terus lari dari godaan Siti Zulaikha dan Siti Zulaikha pula mengejar baginda dari arah belakang lalu memegang bajunya hingga baju baginda terkoyak.

Sebagai membuktikan kebenaran baginda ALLAH memerintahkan seorang kanak-kanak kecil yang sedang berada di dalam buaian bercakap dengan lidah yang fasih sebagai saksi yang memihak kepada Baginda nabi Allah Yusof a.s.

Maka rabitah dan wasilah yang sesat lagi menyesatkan adalah sebagaimana Musa As Samiri (Dajjal) laknatullah mengajar kepada pengikut-pengikut Nabi Allah Musa a.s sepeninggalan baginda pergi bermunajat di Bukit Tursina bagi menerima kitab Taurat. Musa As Samiri mengajar umat Nabi Allah Musa a.s menempa patung anak lembu daripada emas yang mereka rampas daripada orang qibti Mesir semasa mereka dihalau dan diburu oleh Fir’aun dan bala tenteranya. Musa As samiri menghidupkan anak lembu itu dengan mencampurkan tanah bekas tapak kaki kuda Jibrail a.s kedalam emas yang ditempa itu. Setelah patung anak lembu itu hidup dan boleh bercakap-cakap maka Dajjal mengarahkan umat Nabi Allah Musa a.s mengadakan upacara pemujaan diluar batas syariat nabi Allah Musa a.s. sebagai memperhambakan diri dan menghormati mengikut selera hawa nafsu yang jahat dalam keadaan khayal, syak, dzon dan waham. Maka rabitah dan wasilah yang seumpama inilah yang diharamkan oleh seluruh ulama’-ulama’ islam ke atas orang-orang islam melakukan akan dia sepanjang zaman kerana menerjunkan diri seseorang murid itu kedalam kufur dan maksiat yang lebih mendalam

Adapun Rabitah di atas nama tabarruk dan taqarrub seperti yang berlaku ke atas Nabi Allah yusof a.s maka ia diharuskan keatas mereka yang mengambil ilmu dan amal daripada ulama’-ulama’ muhaqqiqin dan melatih diri dengan ilmu dan amal itu untuk keluar daripada dosa besar dan kecil menuju kepada baik, paling baik, agong baik dan maha baik dengan ijma’ seluruh ulama’ islam yang muhaqqiqin. Ulama’-ulama’ islam yang menolak rabitah dan wasilah di atas makna tabarruk dan taqarrub itu ialah orang-orang yang nakal yang masih berada di atas sifat-sifat mazmumah walaupun mempunyai sijil-sijil kelulusan (Ba, Ma & PhD) kedudukan pangkat dan banyak ilmu dan amal dan diharap mereka akan menjadi seperti Imam Ahmad Ibnu Hanbal dan Imam Al ghazali dan mereka yang seumpama dengannya



Orang-orang yang menerima Ilmu daripada rasul khasnya di zaman Nabi Muhammad S.A.W. berpecah kepada beberapa kelompok atau kumpulan antaranya:-

9.1 Kumpulan yang betul-betul menerima ilmu dan amal itu serta bersungguh-sungguh melatih diri zahir dan bathin dengan ilmu dan amal itu menuju kepada terpelihara dosa sepenuhnya serta istiqomah diatasnya selama-lamanya. Kelompok inilah yang menjadi pewaris kepada sekalian nabi-nabi dan rasul-rasul dalam ilmu dan amal dan menjadi uswatun hasanah pada zamannya. Contohnya Abu Bakar, Omar, Othman, Ali r.a dan baki daripada 10 sahabat dijamin syurga dan mereka yang lainnya yang seumpama mereka itu pada zahir dan bathin sepanjang zaman selagi tidak berlaku qiamah.

Mafhum Firman Allah :-

“ Dia (Allah) yang mengutus RasulNya dengan (membawa) petunjuk yang lurus dan agama yang (benar yang datang dari sisi hadzratNya) supaya jadilah agama Islam itu meninggi dan menang mutlak di atas semua agama yang lain ( kerana agama yang lain itu ciptaan manusia yang menjadi penganjur dan pelopornya sahaja, yang tidak ada padanya mukjizat) dan cukuplah Allah sahaja yang menjadi saksi . Muhammad itu pesuruh Allah, orang2(mukmin) yang bersama dengan dia sangat keras tindakannya terhadap orang2 kafir dan sangat mesra kasih saying sesama mereka (mukminin/at) Engkau lihat mereka itu sentiasa ruku’, sujud dan semata-mata mengharapkan kurnia daripada Allah dan Keredhoannya sahaja. Mereka itu dapat dikenal pasti kerana ada pada diri mereka itu tanda sujud kepada Allah. ( zahir atau nyata cahaya keimanan, keselamatan dan keehsanan yang terang benderang pada diri mereka itu.) (Surah al fat-h ayat 28-29)

Kalau di zaman Rasulullah s.a.w puak-puak ini dapat dikenal pasti sebagai orang-orang yang paling kehadapan menolong Allah dan rasulNya dan agamaNya ialah mereka yang membentengkan diri mereka sendiri menangkis serangan-serangan musuh seperti yang berlaku di dalam peperangan Uhud. Mereka juga orang-orang yang pertama mengambil Bai’atul ridzuan di Hudaibiah daripada Rasulullah s.a.w. Mereka juga orang-orang yang membariskan diri di dalam peperangan Hunain bersama Rasulullah s.a.w setelah jemaah tentera Islam yang banyak melarikan diri meninggalakan Rasulullah s.a.w kerana gerun dengan serangan bala tentera ahzab. Di dalam peperangan itu Allah memberi kemenangan total (mutlak) kepada Rasulullah s.a.w dan orang-orang mukmin. Orang yang seumpama tersebut memang wujud disepanjang zaman selagi tidak berlaku kiamat. Tetapi didalam sesuatu keadaan tertentu mungkin mereka ini menyembunyikan diri.

Mereka melaksanakan dakwah menyeru amar ma’aruf nahi mungkar itu dalam suasana dan keadaan berhimah yang hanya mereka sendiri sahaja yang tahu dan faham kenapa mereka berada seperti itu. Mereka ini golongan ulama’-ulama’ dan solihin-solihin yang muhaqqiqin umah nabi Muhammad s.a.w sepanjang zaman.

9.2 Kumpulan yang betul-betul menerima ilmu dan amal itu daripada Rasulullah atau daripada kelompok yang pertama sepanjang zaman dan berusaha melatih diri zahir dan bathin dengan ilmu dan amal itu seperti kelompok pertama untuk menuju terpelihara daripada segala dosa, tetapi masih terlekat dengan dosa-dosa kecil namun segera bertaubat. Mereka ini ialah golongan ulama’-ulama’ dan orang-orang soleh umat Nabi Muhammad s.a.w.

9.3 Kelompok yang menerima ilmu dan amal tetapi tidak berusaha bersungguh-sungguh seperti kelompok (1) dan (2) bagi melatih diri keluar daripada dosa besar dan kecil. Mereka itulah golongan orang-orang fasiq umat Muhammad s.a.w yang terdiri daripada golongan Ulama’, orang-orang yang zahirnya nampak soleh atau orang awam umat Muhammad s.a.w sepanjang zaman. Terkadang mereka itu hanya terikut-ikut sahaja di dalam menerima ilmu dan amal mungkin oleh sebab ada kepentingan atau sesuatu hajat untuk dihasilkan atau ada penyakit untuk Allah disembuhkan atau dengan sebab malu dengan suasana dan keadaan.

9.4 Kelompok yang pura-pura menerima ilmu dan amal dan pura-pura pula dalam melatih diri zahir dan batin dengan ilmu dan amal itu. Akhirnya ada di antara mereka menolak ilmu dan amal yang padanya mereka terima samada nyata atau tersembunyi. Mereka itulah orang-orang munafiq atau murtad daripada Umat Muhammad s.a.w sepanjang zaman.

Dua kelompok terakhir inilah paling ramai dikalangan umat Muhammad s.a.w dan terjebak pula dengan berbagai ragam ilmu dan amal yang sesat lagi menyesatkan yang tergolong di dalam salah satu 72 puak yang sesat dalam aqidah, terjebak pula di dalam bidaah dholalah yang haram dan karohah dalam syariat, juga terjebak di dalam salah satu 13 puak sesat di dalam kesufian terikat dengan khadam-khadam bersyarat, saka baka (keturunan) dan lain-lain.

Seruan dakwah dalam menyeru ma’aruf dan mencegah mungkar yang paling berkesan ialah yang datang dari kelompok (1) dan (2) kerana mereka itu orang-orang yang dipercayai iman, islam dan ihsan serta mempunyai salasilah di dalam ilmu dan amalnya sehingga kepada Rasulullah s.a.w dan mereka pula ada rabitah dan wasilah di atas makna tabarruk dan taqarrub dalam ilmu dan amalnya. Maka golongan inilah yang paling layak mengajak manusia kembali kepada kebaikan dan paling berkesan di dalam kerja buatnya itu. Manakala golongan yang menolak rabitah dan wasilah tidaklah termasuk di dalam kumpulan yang sepatut layak mengajak manusia kepada amar ma’ruf nahi mungkar, kerana mereka sendiri berada di dalam kemungkaran samada fasiq, dzolim, munafiq atau murtad.

Rindu kepada Perspektif Tasauf

Ilmuan Keislaman

Bab Bersuci

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.& Salam Ukhuwah

Dan (berkatalah malaikat): "Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad); Dia lah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, -
Surah Maryam ayat 64


Alhamdulliah, syukur ke hadrat Allah, kita berjumpa lagi di dalam al_Kuliah yang bertajuk : Fardu Ain..Semoga catatan ringkas ini dapat diguna di dalam kehidupan kita seharian. Walaupun sahabat2 sekalian sudah arif tentang bab di bawah, akan tetapi sekadar ulangkaji untuk masa2 hadapan kerana ilmu dan amal tidak terhenti selagi belum bergoncang bumi ni.Eloklah jikalau ada kemusykilan, berjumpalah dengan guru-guru yang ahli pada BAB.Sehebat mana pun ilmu agama walau ke MESIR JORDAN,INDONESIA dsbnya..hendaklah berguru dan bersanad agar rantaian rabithoh dan wasilah kukuh dan teguh kerana pesan tok guru:
BERPEGANG ' TEGUHLAH DENGAN TALI ALLAH' AGAR TIDAK JATUH KE DALM JURANG YANG DALAM.BARANG TIRUAN BANYAK DI PASARAN, BARANG ASLI DALAM RUMAH AHLI,ALAM SEMESTA MENJELANG SENJA,YANG DIJANJIKAN HAMPIR TIBA,SEGALA AULIA MENUNGGU PERINTAH,MENGIBAR PANJI KEBESARAN ALLAH..Sekiranya ada sahabat2 lain yang tidak tercatat di dalam email ini, sebarkan sebagai tanggungjwap sesama umat Muhammad SAW.

Jenis-Jenis bersuci.

1. Menyuci badan daripada hadas kecil:
2. Menyuci badan daripada hadas besar.
3. Istinjak.
4. Menyucikan pakaian, alatan dapur (pinggan , mangkuk) dan masjid.

Jenis-Jenis bersuci.

1. Menyuci badan daripada hadas kecil:

Iaitu menyuci badan daripada hadas kecil dengan berwuduk atau bertayamum. Orang-orang yang berhadas kecil diharamkan mengerjakan solat dan menyentuh Al-Quran.

2. Menyuci badan daripada hadas besar.

Orang yang berjunub atau berhadas besar hendaklah membersihkan dirinya dengan mandi.Orang yang berhadas besar diharamkan mengerjakan solat, mengerjakan haji, wuduk di dalam masjid, menyentuh dan membaca Al-quran.

3. Istinjak.

Iaitu bersuci selepas keluarnya kotoran daripada dua jalan iaitu air kencing atau tahi.

4. Menyucikan pakaian, alatan dapur (pinggan , mangkuk) dan masjid.

Pakaian hendaklah dibersihkan daripada segala najis. antara Syarat sah solat ialah pakaian dan tempat solat mestilah bersih daripada najis.

Najis dan jenis-jenisnya

Agama Islam amat mementingkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Sehubungan itu,setiap manusia wajib membersihkan diri, pakaian dan tempat daripada najis. Bersih dan suci daripada najis merupakan salah satu syarat untuk menunaikan ibadah serta mengabdikan diri kepada Allah. Najis adalah benda-benda yang kotor dan boleh membatalkan sembahyang. Sebagai umat Islam, kita hendaklah sentiasa berada dalam keadaan suci dan bersih kerana ia mencerminkan keperibadian seseorang. Bagaimanapun benda yang jijik tapi pada syariat tidak membatalkan solat seperti kahak, hingus dan lain-lain tidak dikira sebagai najis. Menurut hukum aslinya sesuatu benda itu adalah suci selama tak ada dalil yang menunjukkan bahawa benda itu najis.

Terdapat tiga bahagian najis iaitu:
1. Najis mukhaffafah (najis ringan).
2. Najis mutawassitah (najis pertengahan).
3. Najis mughallazah (najis berat)

1. Najis Mukhaffafah. (Ringan). seperti kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan makanan selain daripada susu ibu. Untuk mensuci benda yang terkena najis ini, memadai dengan memercikkan air atas benda itu meskipun tidak mengalir. Adapun kencing kanak-kanak perempuan yang belum makan selain susu hendaklah dibasuh sampai mengalir air di atas benda yang kena najis itu dan hilang zat dan sifat-sifat nya sebagaimana mensuci kencing orang dewasa.

Cara menyucikan najis mukhaffafah:
- Hilangkan ainnya (fizikal najis)
- Basuh bahagian yang terkena najis dan lap.
- Percikkan air di tempat yang terkena najis.
- Lap dengan kain bersih sehingga kering.

2. Najis Mutawassitah. (Pertengahan) - Najis ini terdiri dari segala najis kecuali najis yang tergolong kepada najis berat. Yakni Najis Mughaladzah. . Najis pertengahan ini terbahagi kepada dua bahagian.

2.1 Najis Hukmiah. - iaitu najis yang diyakini adanya tetapi tidak nyata zatnya, baunya , rasanya serta warnanya. seperti kencing yang sudah lama kering, sehingga sifat-sifatnya sudah hilang. cara mensuci najis ini cukup dengan mengalirkan air di atas benda yang kena itu kemudian dilap hingga kering.

2.2 Najis Ainiah. Najis yang nampak dan kelihatan najisnya yang ada rupa, rasa dan baunya seperti tahi, darah dan lain-lain. Membersihkan najis ini ialah dengan membasuhnya sehingga hilang segala sifat sifat nya.

3. Najis Mughallazah. (berat) iaitu anjing dan babi. Benda yang terkena najis ini hendaklah dibasuh tujuh kali, sekali daripadanya hendaklah dicampur dengan tanah.

Cara menyucikan Najis Mukhaffafah (ringan).
Memadai dengan merenjiskan air pada benda atau tempat yang terkena najis sehingga rata.

Cara menyucikan Najis Mutawasitah (Pertengahan).
1. Najis Ainiyah.
i. Buangkan najis itu terlebih dahulu.
ii. Basuh bekas itu sehingga hilang bau, warna dan rasa dengan air mutlak.

2. Najis Hukmiyah.
i. Memadai dengan mengalirkan (Menjirus) air mutlak pada tempat yang terkena najis.

Cara Menyuci Najis Mughallazah (Najis Berat)
* Anjing dan babi serta keturunan salah satu daripadanya. - termasuk dagingnya,lemak, tulang,darah, liur, tahi, kulit serta bulunya serta seluruh bahagian badannya.

Peringatan.
1. Tersentuh anjing yang kering dengan tangan yang kering tidaklah dikirakan najis. Sekiranya salah satu di antara keduanya basah atau kedua-duanya basah, maka dikira najis dan ianya wajib disamak.
2. Menyentuh babi yang kering ataupun basah adalah dikira najis (Wajib disamak).

Cara Menyucinya.
Hilangkan najis itu terlebih dahulu kiranya najis haiwan itu yang tersentuh. Basuhan pertama menggunakan air lumpur (Selut). Kemudian dijirus dengan enam kali air mutlak. Basuhan ini hendaklah menghilangkan bau, rasa dan ainnya.

Cara Menyucikan Kulit Bangkai
Binatang yang mati tidak disembelih adalah bangkai. Kulit bangkai kecuali binatang laut dan sungai tidak boleh dipergunakan sebelum disuci. Cara menyucinya ialah dengan dibersihkan menggunakan air bercampur daun bidara atau juga biasa disebut samak. Sebelum disamak kulit bangkai itu adalah najis.

Cara menyucikan cairan yang memabukkan.
Kiranya minuman yang memabukkan jatuh pada benda-benda cair, maka buanglah semuanya.Tetapi jika minuman yang memabukkan jatuh pada benda-benda beku, cukuplah dibuang bahagian yang terkena dan kawasan sekelilingnya.

Perkara yang tidak dikira sebagai najis.
Bagi haiwan yang mati tanpa disembelih hukumnya bangkai yang bernajis kecuali yang berikut di bawah:
1. Mayat manusia sama ada Islam atau kafir.
2. Ikan sama ada besar atau kecil halal dimakan.
3. Belalang.
4. Ulat dalam buah-buahan atau seumpamanya yang ada dalam makanan. Kalau diketahui ada ulat dalam buah-buahan dan dimakannya bersama , maka hukumnya makruh.
5. Semua binatang yang darahnya tidak bersifat mengalir, maka air tidak menjadi najis jika binatang berkenaan jatuh ke dalamnya. Tetapi memakannya tetap dilarang.

Hukum Peluh dan air liur manusia dan binatang.
1. Air liur, kahak yang keluar daripada dada atau otak, air hidung, air mata, peluh mani, susu jika ia keluar dari:
i. Anjing dan babi atau keturunannya adalah haram kerana ianya adalah najis.
ii. Keluar daripada binatang atau manusia adalah suci semuanya. tapi benda itu adalah
dianggap jijik dan haram dimakan.
2. Tidak najis air liur kucing, jika pasti semasa itu ia tidak memakan benda najis seperti cicak, tikus dan seumpamanya.
i. Selepas makan tikus lalu kucing itu menjilat air minuman, maka air yang dijilati itu menjadi najis.
ii. Jika selepas makan tikus atau sebagainya, kesan darah di mulut kucing itu telah hilang, kemudian kucing itu menjilat minuman. Air minuman itu tidak najis.

Air Liur Basi
Air yang keluar daripada mulut ketika seseorang tidur.
1. Jika air itu berwarna kuning atau busuk, maka iar liur basi itu najis kerana ia keluar dari perut.
2. Jika air liur itu tidak berwarna dan tidak berbau busuk, maka iar liur itu tidak najis kerana bukan keluar dari perut.

Hukum Madu
1. Halal meminum madu kerana madu keluar daripada mulut lebah.
2. Haram memakan anak lebah sekalipun belum bernyawa.
3. Tidak makruh meminum madu daripada lebah yang memakan najis.

Rujukan : Kitab Matla’al Badraian – Syeikh Daud Fattani