Wednesday, March 3, 2010

ISLAM TULIN DAN ISLAM BAKA(KETURUNAN)

ISLAM TULIN DAN ISLAM BAKA (ISLAM KETURUNAN)
Orang-orang yang beriman ialah mereka yang menyungguhkan dan yang
membenarkan akan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusan Allah yang membawa
manusia dari kegelapan kepada nur, dari kafir kepada Islam dan dari syirik kepada tauhid
serta barang yang dibawa dan disampaikan baginda itu adalah dari Allah. Dan mereka ini juga
mengamalkan apa jua dari sunnah baginda s.a.w. sepenuhnya pada diri , keluarga dan
masyarakat sekadar kemampuan mereka pada zahir dan batin. Inilah dia dari golongan yang
sebenarnya; dan mereka ini juga yang berhubung kembali dengan Rasulullah s.a.w. melalui
guru-guru yang muktabar salasilahnya. Firman Allah:
Maksudnya: Hanyasanya orang-orang beriman itu, ialah mereka yang percaya kepada
Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak pula ragu-ragu dan mereka
berjihad dengan harta mereka dan diri mereka pada jalan Allah, mereka
itulah orang-orang yang benar.
(Al-Hujurat:15)
Kaum Mukminin yang benar-benar beriman itu hanyalah mereka yang mempunyai ciri-ciri
berikut:
1. Percaya kepada Allah dan RasulNya.
2. Tidak terdapat di dalam hati mereka perasaan ragu-ragu dan syak wasangka, tidak
bergoncang imannya, bahkan tetap teguh di dalam satu keadaan.
3. Berjihad, iaitu berjuang pada jalan Allah dan mencari keredhaanNya, dengan
membelanjakan harta yang disayanginya dan mengorbankan nyawa yang dikasihinya.
Mereka itulah orang-orang yang tulen imannya, dan benar kalau menuturkan kata,
“Kami beriman”. Bukanlah seperti setengah sikap orang-orang Melayu hari ini yang berkata,
“Kami telah beriman” hanya di mulut sahaja, kerana mereka menjadi Islam hanyalah secara
kebetulan emak dan bapa mereka orang Islam – mungkin juga Islam keturunan. Satu
kenyataan palsu yang perlu dibuang ialah perkataan yang terbit dari orang-orang Melayu yang
jahil iaitu: “melayu itu Islam, dan Islam itu Melayu”. Jika demikian apalah salahnya pula
orang Arab berkata: “Arab itu Islam dan Islam itu Arab”. Sedangkan di dunia Arab hari ini
ramai dikalangan mereka terdiri dari orang-orang Yahudi, orang Nasrani, orang Kristian
seperti di Lebanon. Dan bagaimana pula sekiranya orang Pakistan atau orang Cina yang
Muslim mengatakan perkataan yang sama. Kalau demikianlah keadaannya bukanlah Islam itu
untuk semua bangsa, tetapi hanyalah dikhususkan untuk sekian-kian bangsa sahajalah!
Demikianlah singkatnya ilmu mereka terhadap Islam. Islam bukanlah diturunkan
hanya untuk orang-orang Melayu atau orang-orang Arab sahaja, tetapi ia diturunkan kepada
sesiapa jua dari mana-mana bangsa dan keturunan yang mahu mengucap dua kalimah
syahadah, membenarkan Rasulullah s.a.w. serta barang yang dibawanya dan mengamalkan
segala Sunnatullah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. di dirinya zahir dan batin di bawah
bimbingan guru mursyid dan bukan dibimbing oleh akal fikirannya sendiri atau di bawah
telunjuk wali (penolong) syaitan. Timbulnya keraguan dan kejahilan di diri mereka itu adalah
disebabkan oleh sangkaan mereka bahawa mereka telahpun menjadi Islam sejak kecil lagi.
Sangkaan mereka itu adalah berdasarkan semasa kecil lagi mereka telah disuruh menghadiri
majlis-majlis pengajian Al-Quran dan fardu ain. Sebenarnya, tujuan mereka dihantar ke majlis
tersebut adalah untuk mempersiapkan diri apabila sampai umur akil baligh mereka akan
dipertanggungjawabkan dengan segala hukum Islam setelah mereka mengucap dua kalimah
syahadah iaitu menerima secara rasmi daripada guru mursyid. Inilah sangkaan mereka yang
salah, tambahan pula sangkaan mereka itu hanya berdasarkan hukum akal mereka sendiri
sahaja tanpa ada nas yang mengukuhkannya.
Inilah dia golongan yang mengaku beriman dengan Nabi s.a.w. tetapi tidak
mentashdidkan kebenaran baginda, yakni tashdid mereka semata-mata hanyalah percaya
dengan lidah terhadap Nabi s.a.w. dengan keyakinan yang datang dari dirinya sendiri atau
dengan mendengar ceramah-ceramah (bukan Mengaji) atau mendapat cerita buku secara
sambil lewa sahaja. Sekiranya ditanya kepada mereka bagaimana keadaan diri Nabi yang
menjadi utusan Allah itu dan bagaimanakah pula jalan hidup baginda sebagai seorang utusan
Allah? Mereka hanya menjawab dengan jalan yang mudah sahaja tanpa menampakkan
keyakinan terhadap Rasul itu. Tanda keimanan itu dapat dinilai dari ‘komitmen’ mereka
terhadap sunnah baginda sendiri.
Maka golongan ini, Islam mereka hanyalah Islam zahiriah semata-mata. Sungguhpun
mereka juga sembahyang, puasa, zakat dan haji serta mengamalkan suruhan Tuhan yang lain,
tetapi kerana mereka itu tidak bersungguh-sungguh membenarkan kerasulan Nabi s.a.w.,
maka mengikut qaul yang sahih daripada ulamak muhaqqiqin mereka adalah golongan yang
sesat jua kerana tidak tepat iktiqad mereka.

No comments:

Post a Comment